Anti-vaksinasi: Adakah Anda Pro-Kehidupan atau Pro-Pilihan?

Apa itu anti-vaksinasi?

Anti-vaksinasi adalah satu gerakan menentang vaksinasi di atas pelbagai sebab, termasuk kerana ia menimbulkan pelbagai masalah kesihatan, ia dilarang agama, atau ia melanggar hak individu untuk membuat pilihan perubatan.

 

Kenapa anti-vaksinasi menjadi isu panas sekarang?

Semakin hari, semakin ramai rakyat Malaysia yang menentang vaksinasi: 470 pada 2013 ke 1,292 pada 2014 dan 1,054 hingga ke Mei tahun ini. Akibat daripada ini, semakin ramai anak kecil yang jatuh sakit atau maut akibat penyakit-penyakit yang boleh dicegah:

 

     2014       2015    2016  (hingga kini)
Difteria 2 8 12
Demam campak 221 1318 873
Pertussis (batuk kokol)  497 939 163

 

Seorang kanak-kanak berumur 3 tahun meninggal dunia di Sabah akibat difteria, dan ia merupakan kematian ketiga di Malaysia tahun ini.

 

Apakah hujah-hujah anti-vaksinasi dan adakah ianya benar?

#1: Vaksin mengandungi bahan-bahan yang berbahaya

Thiomersal (atau thimerosal) dahulu sering diguna dalam vaksin sebagai pengawet. Namun apabila semakin ramai yang gusar mendedahkan anak kecil kepada thiomersal yang mengandungi merkuri, pihak US Food & Drug Administration (FDA) melaksanakan kajian pada 1999 dan mendapati tiada bukti bahan thiomersal memudaratkan dalam vaksin anak kecil. Jika anda risau, sila hubungi doktor pakar kanak-kanak anda.

Jel atau garam aluminium yang terkandung di dalam vaksin diguna untuk membantu tubuh kita membina imunisasi yang lebih kuat terhadap kuman di dalam vaksin tersebut. Kajian membuktikan bahan ini tidak mendatangkan risiko ketara kepada kanak-kanak. Aluminium juga terdapat di dalam susu ibu, formula bayi, dan air.

 

#2: Vaksin tidak halal

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya telah menjaminkan bahawa “semua vaksin adalah halal atau dibenarkan dalam Islam dan tidak mengandungi DNA khinzir”.

 

#3: Vaksin menyebabkan autisme

Pelbagai kajian telah dibuat untuk mengkaji hubungkait merkuri dan autisme serta lain-lain gangguan pembangunan neural kanak-kanak. Pada tahun 2004, Institut Perubatan membuat kesimpulan bahawa tidak wujud hubungkait yang jelas, tetapi mengesyorkan thiomersal tidak diguna sebagai bahan di dalam vaksin sebagai langkah keselamatan. Penggunaan thiomersal di dalam vaksin telah diberhentikan sejak 90an dan hanya digunakan di dalam beberapa ubat suntikan selesema. Jika anda ragu-ragu, sila hubungi doktor pakar kanak-kanak anda.

Kajian mendalam Dr Andrew Wakefield dari Britain pada 1998 yang menghubungkan autisme dengan vaksin kanak-kanak telah dinafikan. Beliau didapati memalsukan data dan menerima bayaran cukup besar dari sebuah syarikat farmaseutikal yang pada waktu itu sedang bersiap sedia untuk menyaman syarikat-syarikat pembuat vaksin.

 

#4: Vaksin menyebabkan pelbagai penyakit

Pelbagai kajian menunjukkan bahawa:

Vaksin Hepatitis B tidak menyebabkan sklerosis berbilang (multiple sclerosis).

Vaksin DTaP (difteria, tetanus, dan pertussis) tidak menyebabkan Sindrom Kematian Bayi Secara Mengejut (Sudden Infant Death Syndrome, SIDS) malah menunjukkan risiko tersebut berkurangan.

Dan Sindrom Bayi Digoncang (Shaken Baby Syndrome) sering disebabkan oleh… anda menggoncang bayi anda.

 

#5: Vaksinasi terlalu membebankan sistem imun anak saya

Dari ketika anak dilahirkan, mereka terdedah kepada pelbagai kuman dan virus setiap hari apabila mereka makan makanan, bernafas dalam udara yang tercemar, atau meletakkan tangan ke dalam mulut. Anak kecil mendapat sedikit antibodi dari ibu mereka, tetapi ini hanya bertahan beberapa bulan dan mereka tidak menerima antibodi untuk melawan difteria, batuk kokol, polio, tetanus, Hepatitis B, atau Hib.

Memvaksin anak anda hanya mendedahkan mereka kepada ‘jangkitan ditiru’ – yakni versi kuman dan virus yang telah dilemahkan atau dibunuh – yang menyebabkan penghasilan antibodi. Sekiranya anak kecil anda diberi beberapa vaksin sekaligus, ianya mungkin lebih selesa buat si anak kecil, malah ia disyorkan untuk melindungi mereka dari penyakit seawal yang mungkin.

 

#6: Vaksinasi tidak semula jadi

Imuniti yang diperolehi secara semula jadi hanya datang dari penyakit itu sendiri dan ini amat berbahaya malah boleh mengakibatkan kematian. Imuniti yang diperolehi daripada vaksin sama sahaja keberkesanannya. Bayi anda mungkin mengalami demam selepas menerima satu dos vaksin, tetapi ia adalah kesan sampingan yang risiko yang cukup rendah berbanding mendedahkan bayi anda kepada jangkitan yang berbahaya yang datang dari alam sekitar.

 

#7: Vaksinasi itu satu konspirasi

Adakah syarikat-syarikat farmaseutikal dan doktor-doktor mengaut keuntungan yang cukup besar dari jualan vaksin?

Industri vaksin sebenarnya telah lama menghadapi pelbagai kesusahan. Margin keuntungan yang rendah bermakna tidak ramai yang berminat untuk melabur di dalam penyelidikan dan pembangunan kerana penghasilan sebuah vaksin memakan masa hampir 15 tahun tetapi ia hanya digunakan setahun sekali atau sekali sahaja di dalam kehidupan seseorang individu. Jumlah pembuat vaksin telah berkurangan sejak 70an – syarikat-syarikat sering menjual jabatan vaksin mereka atau memberhentikan terus pembuatan vaksin. Oleh kerana kos pembuatannya tinggi dan pulangannya rendah di samping peraturan-peraturan kesihatan yang ketat, penghasilan vaksin bukanlah satu bidang yang mudah dimasuki sesebuah syarikat farmaseutikal.

Walaupun industri vaksin kini mungkin boleh mendatangkan keuntungan, sebab utama vaksin masih dihasilkan ialah kerana satu sebab sahaja – wujudnya permintaan. Dan disebabkan vaksin lah penyakit cacar telah dibasmi sepenuhnya pada tahun 1979.

 

#8: Vaksin adalah pilihan saya dan tidak mendatangkan kesan kepada sesiapa kecuali anak saya

Salah. Seorang anak kecil yang tidak diberikan vaksin dan telah mengalami sesuatu penyakit boleh menjangkiti kanak-kanak lain yang belum lagi diberikan vaksin. Ini meningkatkan risiko sesuatu penyakit itu merebak, yang mungkin mendatangkan kesan yang parah, yang mungkin juga membawa maut. ‘Imuniti kumpulan’, di mana sebilangan besar ahli sesebuah komuniti itu telah menerima vaksin, boleh membendung penyakit dari merebak lebih luas atau menghapuskan terus sesuatu penyakit.

anti-vaksinasi

Sumber: The National Institute of Allergy and Infectious Diseases (NIAID)

 

Pelbagai kajian telah menunjukkan keberkesanan vaksin dan menafikan kesan-kesan sampingan yang kononnya berkait dengan vaksin, tetapi gerakan anti-vaksin terus mendapat dorongan oleh dakwaan kononnya wujud usaha mengekang komuniti Muslim oleh Barat, dan tokoh anti-vaksinasi Jenny McCarthy.

Perbincangan hangat kini timbul kembali di Malaysia dan ruangan siber, tetapi malangnya beberapa penyokong vaksinasi bagai menjadi buli. Berikut merupakan beberapa cadangan untuk mengurus perbicangan isu ini:

  • Pakar-pakar kata ‘jangan panggil mereka bodoh’. Jika orang lain menganggap anda menyerang nilai-nilai yang mereka pegang, mereka akan bersikap defensif – manakan tidak, mereka hanya memikirkan pilihan-pilihan yang terbaik buat anak mereka.
  • Ambil lah masa untuk mendengar kebimbangan mereka dan bukannya menjawab bertubi-tubi dengan maklumat. Kalau anda mampu mendengar hujah mereka, mereka juga mampu mendengar hujah anda.
  • Ingat, bukan semua ibubapa mempunyai akses yang sama kepada pendidikan dan maklumat. Carian mudah di Google pun menunjukkan soalan seperti ‘adakah vaksin itu halal’ memberi jawapan pertama sebagai laman web yang mendakwa vaksin mengandungi janin yang digugurkan, serum haiwan, nanah, sel kanser, dan adalah konspirasi Barat.
  • Gunakan metod ‘tunjuk, jangan cerita’ – tekankan bahaya penyakit-penyakit yang mungkin dijangkiti anak mereka sekiranya anak-anak itu tidak diberikan vaksin.

 

***

Sumber: thestar.comcdc.govwho.org

Comments

comments powered by Disqus